PEGUAM NEGARA BUAT KEPUTUSAN SENDIRI BUKAN ATAS DASAR PERBICARAAN

Bebas Najib: Khairuddin lapor polis kemungkinan Peguam Negara salah guna kuasa

din-report
BANGI, Rabu – Ahli perniagaan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana kemungkinan menyalahguna kuasa membebaskan Perdana Menteri daripada sebarang salah laku.
Beliau yang juga bekas Naib Pengerusi UMNO Batu Kawan memuat naik salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi hari ini, dalam laman Facebooknya.
“Saya memohon pihak polis menyiasat Peguam Negara sama ada terdapat sebarang unsur salahguna kuasa, cuai jenayah, memutar belit fakta dan mengganggu penjawat awam daripada menjalankan tugas mahupun siasatan mereka secara telus, bebas serta komprehensif,” katanya.
Beliau berkata, sebagai Peguam Negara, Mohamed Apandi sepatutnya memaklumkan secara terperinci kepada orang ramai mengenai siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Semalam, Peguam Negara mengumumkan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah berkaitan siasatan kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun bank peribadi beliau.
Mohamed Apandi juga mengarahkan SPRM menutup kes itu.
Khairuddin yang pernah ditahan kerana dituduh melakukan sabotaj terhadap sistem kewangan negara berkata, Peguam Negara tidak sepatutnya membuat kenyataan secara umum tanpa memberi penerangan lanjut hasil penemuan SPRM ketika menyiasat kes itu.
“Peguam Negara harus memberi penerangan secara komprehensif kepada rakyat khususnya di dalam menzahirkan semua asas butiran siasatan yang telah dijalankan oleh pihak SPRM.
“Jawapan yang komprehensif dari Peguam Negara penting demi menjamin keutuhan imej serta kredibiliti Jabatan Peguam Negara pada pandangan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

0 ulasan "PEGUAM NEGARA BUAT KEPUTUSAN SENDIRI BUKAN ATAS DASAR PERBICARAAN", Baca atau Masukkan Komentar

Catat Ulasan