PARLIMEN JUGA LINDUNGI NAJIB

Ditulis oleh: -

Parlimen tolak soalan berkaitan derma RM2.6 bilion

Parlimen menolak pertanyaan jawab lisan dua anggota pembangkang berkaitan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri.
Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah dalam suratnya berkata "Pertanyaan-pertanyaan diarahkan kepada menteri-menteri berkenaan dengan: (a) hal-hal dalam urusan jawatan mereka".
Surat itu ditunjukkan kepada media di parlimen hari ini.
Jawapan sama diberikan kepada Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) dan Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal) yang membangkitkan soalan berkaitan.
Bagaimanapun, ia dinyatakan dalam surat yang berbeza, yang masing-masing bertarikh 4 Mac.
Mansor meminta Perdana Menteri menyatakan status baki wang diterimanya dan sama ada ia telah dibelanjakan atau disimpan di bank.
Manakala Shamsul pula mahu tahu perincian kaedah pemulangan termasuk kepada siapa dan bentuk pemulangan sama ada ia dibayar secara tunai.
Beliau juga mahu tahu bank yang digunakan perdana menteri dan apakah Bank Negara dimaklumkan berkaitan perkara itu.
Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali sebelum ini berkata AS$620 juta (RM2.4 bilion) telah dikembalikan semula kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai.
Beliau juga membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam isu itu serta kontroversi sekitar bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
Shamsul berkata akan mengemukakan usul bagi mendapatkan penjelasan lanjut dalam hal itu.
Beliau berkata perdana menteri perlu menjawab soalan itu untuk rekod parlimen.
Katanya, beliau membangkitkan perkara itu kerana bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak tahu menahu berkaitan perkara itu.
“Saya tidak faham kenapa soalan kita ditolak,” kata naib presiden PKR itu.

0 ulasan "PARLIMEN JUGA LINDUNGI NAJIB", Baca atau Masukkan Komentar

Catat Ulasan