APA TINDAKAN NAJIB SEBAGAI KETUA NEGARA?

KENYATAAN MEDIA
Dakwaan terbaru yang terkandung dalam saman sivil oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung penyelewengan dana 1MDB telah mendapat perhatian masyarakat dunia.
Tambah memeranjatkan apabila timbul dakwaan terbaru bahawa sebanyak RM17 bilion telah diseleweng oleh “pegawai tertinggi negara” untuk membiayai kehidupan serba mewah.
Memandangkan dakwaan terbaru ini melibatkan maruah negara, saya menggesa supaya sebuah sidang tergempar Parlimen diadakan sesegera mungkin bagi membincangkan dakwaan terbaru ini.
Mengadakan sidang tergempar di luar waktu persidangan Parlimen bukanlah amalan yang luar daripada kebiasaan. Terutama sekali apabila isu yang dibincangkan itu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.
Pada 23 Julai 2014, sebuah Sidang Tergempar Dewan Rakyat di Parlimen telah diadakan bagi membincangkan insiden pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan 298 nyawa.
Sebuah Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Parlimen pula telah diadakan pada 26 Januari 2016.
Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4, Akta Parlimen, hanya Ketua Majlis (Perdana Menteri) boleh boleh meminta supaya sidang tergempar Parlimen diadakan dengan mengemukakan usul kepada Speaker.
Maka dengan ini saya menggesa Perdana Menteri memanggil sidang tergempar Parlimen sesegera yang mungkin bagi membincangkan dakwaan terbaru oleh DOJ. Lantas dapat membersihkan nama negara dari sebarang cemuhan dan tohmahan.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN
16 Jun 2017

0 ulasan "APA TINDAKAN NAJIB SEBAGAI KETUA NEGARA?", Baca atau Masukkan Komentar

Catat Ulasan