1MDB GAGAL BAYAR IPIC BUKTI WUJUDNYA PENIPUAN DAN PENYELEWENGAN
Kegagalan 1MDB membayar firma pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC) adalah bukti wujudnya penipuan dan penyelewengan dalam firma pelaburan negara itu, dakwa ketua penerangan Pakatan Harapan. – Foto FMT
Ketua Penerangan Pakatan Harapan Tony Pua, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Samad dan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Kamaruddin Md Noor – merujuk kepada kenyataan 1MDB bertarikh 24 April yang mengatakan bahawa “tanggungjawab ini akan dipenuhi oleh 1MDB, terutamanya menerusi usaha pengewangan unit dana pelaburan yang dimilikinya.”
“Adalah jelas bahawa 1MDB telah gagal menebus pelaburan ‘unit’nya sejak hujung tahun 2014 hingga hari ini walaupun pihak pengurusan utama 1MDB telah berkali-kali berjanji kepada Lembaga Pengarah 1MDB bahawa pelaburan tersebut akan ditebus,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama yang disiarkan portal Malaysiakini.
Walau bagaimanapun, mereka berkata kegagalan 1MDB untuk menebus ‘pelaburan’ ‘unit’ tersebut tidak lagi memeranjatkan kerana para pelabur Malaysia dan antarabangsa telah lama mengesyaki bahawa ‘pelaburan’ berkenaan sama ada tidak wujud atau adalah satu kepalsuan.
Menurut mereka, saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (DOJ) mendedahkan bahawa ‘unit-unit’ tersebut adalah pelaburan palsu untuk menyembunyikan penyelewengan dana 1MDB yang sepatutnya dilabur bersama Petrosaudi International Limited.
“Apa yang jelas sekarang ialah pengesahan DOJ bahawa pelaburan ‘unit’ tersebut telah menjejaskan segala percubaan dan tindakan 1MDB dan kementerian kewangan untuk terus ‘menutup’ penipuan dan penyelewengan pelaburan 1MDB,” kata mereka.
Malaysiakini melaporkan semalam, 1MDB terlepas tarikh akhir bayaran yang tamat pada tengah malam, waktu New York, atau tengah hari waktu Malaysia.
IPIC sedang cuba mendapatkan AS$ 6.5 bilion daripada 1MDB. Ini susulan persetujuan kedua-dua firma tersebut dalam penyelesaian sebelum proses timbang tara di London.
1MDB sepatutnya membayar AS$ 1.2 bilion dalam dua pembayaran yang sama iaitu pada 31 Julai dan 31 Disember.
Firma itu mengakui bahawa ia tidak dapat memenuhi obligasi pembayarannya kerana dana yang sepatutnya diterima pada bulan Julai telah ditangguhkan hingga Ogos.
Keempat-empat pemimpin HARAPAN itu turut berkata kegagalan 1MDB untuk membayar IPIC bukan sahaja amat memalukan negara tetapi membuktikan bahawa penyelewengan yang ketara telah berlaku di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Kami menyeru agar Bank Negara, Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia segera menjalankan siasatan selanjutnya berkaitan isu ini dengan lebih telus, cekap, cepat dan paling penting sekali, bersungguh-sungguh supaya kepentingan rakyat dapat diutamakan,” kata mereka.
0 ulasan "1MDB GAGAL BAYAR IPIC", Baca atau Masukkan Komentar
Catat Ulasan