Ditulis oleh:
Cikgu Saidi - Ahad, 6 September 2015
Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menggesa supaya sidang khas parlimen diadakan berikutan kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan berhubung wang sumbangan berjumlah RM2.6 bilion.
Berdasarkan kritikan terhadap kegagalan kerajaan Malaysia menangani isu rasuah sewaktu Persidangan Antarabangsa Pencegahan Rasuah (IACC) ke-16 minggu lalu dan beberapa penjelasan lain yang tidak dijawab, Wan Azizah meminta sidang itu diadakan menuntut Najib memberi jawapan secara jujur kepada rakyat.
"PKR mendesak supaya dipanggil suatu sidang tergempar Parlimen Malaysia dalam kadar segera, bagi membolehkan PM memberikan jawapan secara jujur kepada rakyat Malaysia apakah sebenarnya yang berlaku terhadap 1MDB dan derma RM2.6 bilion.
"PKR turut sama mempersoalkan siapa yang memberikan AS$700 juta (RM2.6 bilion) itu dan apakah tujuan derma itu?
"Majoriti rakyat Malaysia, termasuk badan yang mewakili kumpulan anti-rasuah antarabangsa, mengkritik sikap berdiam diri perdana menteri terhadap dakwaan derma yang diterima beliau dalam akaun peribadinya," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.
Pada Khamis lalu, Ahli Majlis Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) Michael Hershman menggesa Najib berterus terang mengenai sumbangan RM2.6 bilion yang diterimanya.
Sementara Pengerusi Transparency International (TI) Jose Ugaz pula juga menggambarkan sumbangan itu sebagai satu kes rasuah dahsyat yang boleh memberi kesan kepada hak asasi manusia.
Naib Pengerusi TI, Elena Panfilova pula menegaskan sokongan badan antarabangsa itu terhadap perhimpunan BERSIH 4 bagi mendesak perdana menteri menjelaskan mengapa dana sebesar itu masuk ke dalam akaun peribadi beliau.
Manakala Cobus de Swardt daripada Transparency International-Afrika Selatan mendakwa Najib tidak boleh berdiam diri jika beliau mahu meyakinkan dunia, terutama pelabur, untuk membuat pelaburan di Malaysia.
Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata kenyataan pakar antirasuah itu senada dengan pendirian kira-kira 500,000 rakyat Malaysia yang turun ke Dataran Merdeka dalam perhimpunan 34 jam pada 29 dan 30 Ogos lalu.
"Malah di kalangan anggota komponen BN dan dalam Umno sendiri, begitu sangsi dengan kredibiliti PM, termasuk dalam isu membabitkan 1MDB dan skandal-skandal lain.
"Majoriti rakyat Malaysia, termasuk badan yang mewakili kumpulan anti-rasuah antarabangsa, mengkritik sikap berdiam diri PM terhadap dakwaan derma yang diterima beliau dalam akaun peribadinya," katanya.
Timbalan presiden PKR itu turut mengkritik rombakan kabinet dengan memasukkan pengerusi dan beberapa anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam kerajaan yang didakwanya cub menghalang siastan menyeluruh dilakukan.
"Tindakan PM merombak Kabinet dengan memasukkan Pengerusi dan beberapa orang anggota PAC dalam kerajaan, jelas bertujuan menghalang siasatan menyeluruh dilakukan terhadap beliau," katanya lagi.
0 ulasan "PELUANG NAJIB BUKTIKAN KEBENARAN", Baca atau Masukkan Komentar
Catat Ulasan