PENIPUAN NAJIB ATAU SATU REALITI ISU RM2.6B

Sumbangan RM2.6 bilion memang dari Arab Saudi


Menurut Menteri Luar Arab Saudi, sumbangan RM2.6 bilion itu diberikan tanpa mengharapkan sebarang balasan
Adel Al-Jubeir
ISTANBUL: Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir mengakui sumbangan dana kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memang datang dari negara itu.
“Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.
“Justeru, setahu kami, isu itu ditutup,” katanya kepada wartawan Malaysia pada Khamis.
Sebelum itu, Adel mengadakan pertemuan dua hala dengan Najib di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di sini.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 26 Januari lepas, membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Mohamed Apandi berkata, hasil siasatan menunjukkan jumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun ialah RM2.08 bilion dan ia adalah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Saudi pada 2013, sebelum RM2.03 bilion dipulangkan kepada penderma pada tahun sama.
– BERNAMA
AYUH RAKYAT MALAYSIA YANG RASIONAL,KITA FIKIRKAN RASIONALISASI DISEBALIK KEBERADAAN RM 2.6B DALAM AKAUN PERIBADI NAJIB..

ISU RM2.6 BILION NAJIB MACAM CERITA FILEM HINDI
Pengesahan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir bahawa sumbangan derma RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tulen tanpa mengharapkan apa-apa balasan menambah lagi kekalutan dan kekusutan isu RM2.6B.
Kenapa Menteri Luar Arab Saudi tidak membuat pengesahan awal daripada hari pertama isu Najib Razak dituduh merompak RM2.6 bilion heboh di Malaysia dan luar negara? Mengapa baru sekarang selepas hampir setahun berlalu?
Kenapa bulan Januari lalu, Kementerian Luar Arab Saudi dan Kerabat Di Raja Arab Saudi membuat kenyataan tidak tahu menahu mengenai isu derma RM2.6B yang disumbangkan kepada Najib Razak?
Kenapa Kerajaan Arab Saudi memberi sumbangan peribadi kepada Najib Razak, kenapa bukan kepada negara Malaysia? Kenapa Arab Saudi tidak sumbangkan kepada negara2 Arab lain yang lebih memerlukannya daripada Malaysia?
Kenapa Najib Razak menjawab berbelit-belit, lain ditanya lain dijawab, tidak tegas, ketika diwawancara mengenai isu derma RM2.6B oleh penyiar TV3 tahun lalu?
Jikalau betul derma Arab itu legal, kenapa Bank Negara, SPRM, LHDN, PDRM, PAC, Peguam Negara terpaksa bekerja keras menyiasat duit RM2.6 B?
Jikalau betul derma Arab itu legal, kenapa akaun bank Ambank Najib Razak tiba-tiba ditutup? Kalau ia akaun amanah atas nama presiden Umno dan dibenarkan perlembagaan, kenapa perlu ditutup? Bukankah ia perlu dikekalkan untuk masa-masa yang akan datang?
Jikalau betul derma Arab itu legal, kenapa Muhyiddin Yassin (Mantan TPM), Shafei Afdal (Mantan Menteri), Mukhriz Mahathir (Mantan Menteri Besar), Abdul Gani Patail (Mantan Peguam Negara), dan Bahri Mohamad Zin (Mantan Pengarah Operasi Khas SPRM) dipecat, digantung dan ditukarkan?
Tun Mahathir, Pakatan Pembangkang dan orang awam tidak perlu minta maaf kepada Najib Razak, kerana mereka hanya membuat respon terhadap tuduhan asal yang dibuat oleh Wall Street Journal (WSJ), The Hedge & Sarawak Report.
Pengesahan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir sudah sahih, sekarang tugas Najib Razak untuk saman WSJ yang telah mengaibkan beliau sebegitu hina di mata orang awam, jangan tunggu hari selasa lagi!
Institusi yang berkuasa di Arab Saudi juga seharusnya membuat penyiasatan kenapa Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir baru sekarang membuat pengesahan kenapa bukan tahun lalu?
Tempoh setahun adalah cukup untuk sutradara membuat kerja-kerja penyelarasan, penyesuaian dan penyuntingan agar cerita RM2.6B berakhir dengan kemenangan dan kebahagiaan.
Tidak sukar memahami jalan cerita yang sedang dikarang mengenai isu RM2.6 bilion ini, penutup ceritanya juga mungkin sudah boleh dijangka oleh sesiapa saja, kuch kuch 1mdb hota hai. - Awang

0 ulasan "PENIPUAN NAJIB ATAU SATU REALITI ISU RM2.6B ", Baca atau Masukkan Komentar

Catat Ulasan