Ditulis oleh:
Cikgu Saidi - Selasa, 18 Ogos 2015
KUALA LUMPUR, 4 Ogos: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan identiti “penderma” yang dikatakan menyumbang derma sebanyak RM2.6 bliion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa syarat.
Tuan Ibrahim turut mempersoalkan punca sebenar Najib menutup akaun tersebut sekiranya betul wang tersebut bukannya daripada dana syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang didakwa sebelum ini.
“Mengapakah akaun itu ditutup jikalau ia dianggap bukan satu kesalahan? Siapa penderma yang sebegitu murah hati?
“Mengapa Najib mengambil masa sebegitu lama untuk menjawab persoalan ini, lebih-lebih lagi setelah pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri) dan Tan Sri Abdul Gani Patail (ketua Peguam Negara) serta penahanan beberapa pegawai Bank Negara dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berkaitan dengan kebocoran maklumat siasatan?” soal pemimpin PAS itu dalam satu kenyataan.
Beliau membangkitkan soalan sedemikian merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM semalam yang mengatakan RM2.6 billion yang disalurkan ke akaun peribadi Najib merupakan sumbangan “penderma” bukannya wang syarikat 1MDB.
Soalnya lagi, adakah SPRM, AmBank, Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedar tentang penglibatan wang tunai sebanyak ini dalam akaun Perdana Menteri dan mengapa mereka tidak menyiasat tentang perkara ini.
“Apakah ini derma dan bukan rasuah untuk habuan tertentu? Apakah siasatan SPRM telah melihat perkara ini?
“Apakah syarat-syarat derma RM2.6 bilion? Sudah dibayangkan derma sebesar ini dilakukan tanpa syarat ke akaun Perdana Menteri. Apakah ini sekadar permainan perakaunan?
“Ketika wang derma dimasukkan ke akaun Najib, apakah Ambank memaklumkan perkara ini kepada Bank Negara?
“Mengapa Lembaga Hasil Dalam Negeri berdiam diri apabila ada akaun perseorangan yang memiliki dana sebanyak RM2.6 bilion?
“Jika betul ia bukan duit 1MDB, mengapa sehingga kini saman kepada Wall Street Journal masih tertangguh?” soalnya lagi.
Awal bulan lalu The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan kira-kira AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan di antara agensi kerajaan, bank dan entiti yang berkaitan dengan 1MDB dan berakhir di akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan.
Najib menafikan dakwaan itu dan mendakwa ia konspirasi politik pihak lawan termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi WSJ menegaskan siasatan mereka berlandaskan dokumentasi kukuh.
0 ulasan "ADA UDANG DISEBALIK BATU", Baca atau Masukkan Komentar
Catat Ulasan