HEBOH GULING KERAJAAN

MP PAS: Tukar kuasa bukan guling kerajaan


Seorang anggota parlimen PAS mempersoalkan sama ada usaha menggulingkan kerajaan seperti didakwa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi benar-benar berlaku.
Datuk Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) berkata, jika kaedah usul tidak percaya dan meraih sokongan pembangkang melalui akaun bersumpah (SD) dilakukan, perkara itu bukanlah “guling kuasa”.
Lagi pula, kata ketua penerangan Dewan Ulama PAS, kaedah itu dibenarkan oleh parlimen.
“Jika benar kaedah ini berlaku dan berjaya, ia bukannya "guling kuasa" tetapi "tukar kuasa,” katanya yang juga ketua penerangan Dewan Ulama PAS.
Zahid pada 16 Ogos mendakwa terdapat seorang pemimpin Umno sedang mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan melalui "pintu belakang" dengan sokongan ahli parlimen pembangkang.
Naib presiden Umno itu berkata, beliau difahamkan mereka ini sedang menyediakan akuan bersumpah (SD) untuk menggulingkan kerajaan.
Dalam kenyataan hari ini, beliau mempersoal prosedur dan peruntukan undang-undang untuk membendungnya serta peranan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi.
“Beliau tidak mahu mendedahkan nama individu berkenaan, tetapi beliau meminta individu berkenaan menafikan jika dakwaan beliau tidak benar.
“Sifir beliau, siapa makan cili, dia berasa pedaslah. Itu cara beliau menjaga keselamatan negara dan Kerajaan,” sindirnya.
Justeru, kata Khairuddin, kenyataan Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, itu memang menggambarkan kebimbangannya terhadap kejatuhan kerajaan BN.
“Cepat atau lambat yakinlah ia pasti jatuh bukan kerana komplot tetapi kerana kegagalan dan kebobrokan Umno dan (presidennya) Datuk Seri Najib (Razak) yang terpalit dengan begitu banyak isu integriti,” katanya lagi.

0 ulasan "HEBOH GULING KERAJAAN", Baca atau Masukkan Komentar

Catat Ulasan