Pertemuan sempena majlis makan malam itu diadakan di Istana As Salam dan turut dihadiri menteri-menteri Arab Saudi serta delegasi Malaysia.
Najib dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz dengan penerbangan khas bersama-sama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada pukul 8.30 malam waktu tempatan (2.30 pagi waktu Malaysia).
Ketibaan Najib yang memenuhi undangan khas Raja Arab Saudi yang baharu, Raja Salman Abdul Aziz al-Saud itu disambut Putera Mohammed Naif Al Saud dan Menteri Negara Arab Saudi, Musaad Mohammed Al Aiban yang turut bertindak sebagai Menteri pengiring sepanjang lawatan rasmi Perdana Menteri kali ini.
Najib dan isteri juga akan disertai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Keesokannya, Najib dijadual mengadakan pertemuan sulung dengan Raja Salman juga di Istana As Salam.
Pertemuan itu dijangka menyentuh mengenai isu status kuota jemaah haji dari Malaysia selain isu-isu yang dapat mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
Pertemuan Najib dan Raja Salman itu amat bermakna memandangkan Perdana Menteri merupakan antara pemimpin negara terawal yang dijemput baginda untuk mengadakan perbincangan selepas dimasyhurkan sebagai Raja Arab Saudi berikutan kemangkatan Raja Abdullah Januari lalu.
Sepanjang lawatan rasmi beliau ke negara ini juga, Najib dijadual melawat depot sistem Metro yang akan digunakan untuk bakal haji di stesen Al Mashaaer Al Mugaddasah, Mekah.
Depot itu dibangunkan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) yang memenangi bidaan sebagai ‘pengendali bayangan’ bagi Fasa Pertama Metro Program Pengangkutan Awam Mekah (Mekah Metro).
Hanya beroperasi pada musim haji, stesen itu berkeupayaan mengendalikan seramai 100,000 jemaah dalam satu-satu masa.
Dalam pada itu, Najib dan Rosmah juga akan menunaikan umrah sebelum berlepas pulang ke tanah air Isnin ini.